MEMIKUL TANGGUNGJAWAB DALAM MENCARI KEREDHAAN ALLAH...
Allah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji manusia siapakah di kalangan mereka orang yang paling baik amalannya.
Orang yang berakal sentiasa memikirkan apakah amalan yang paling diredhai Allah jika dia melakukannya akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah dengan menggunakan peluang yang ada dalam kehidupan yang begitu singkat ini. Oleh demikian itu, kita akan dapat melihat dalam kehidupan ini, manusia berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.
Contoh terbaik adalah para nabi dan rasul. Mereka sanggup menanggung segala keperitan dalam dakwah untuk memastikan manusia akan selamat di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan dakwah baginda, banyak melalui saat getir ini pada permulaan dakwah dan setelah berlalu 23 tahun, hasilnya dapat dilihat dengan wujudnya satu masyarakat yang unggul dan gemilang pada zamannya.
Tugas ini disambung oleh para sahabat dan generasi-generasi yang datang selepas mereka sehinggalah Islam sampai kepada kita hari ini. Tanpa usaha dakwah mereka dan kita mungkin tidak berpeluang untuk mengenali agama Islam yang merupakan satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah SWT.
Ada segolongan manusia yang menerima dakwah dan sebahagian besar menolak. Tugas pendakwah hanyalah menyampaikan dakwah dengan berhikmah dan hujah yang nyata. Penerimaan manusia adalah tertakluk kepada hidayah Allah SWT.
Oleh kerana ramai yang menolak dakwah ini dengan kekerasan, maka para pendakwah terpaksa menggunakan kekerasan untuk menghadapi halangan bagi membolehkan dakwah Islam sampai kepada manusia.
Sehingga sampai satu tahap, mereka terpaksa mengorbankan diri sendiri demi menyampaikan Islam yang akan menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Orang Islam diajar supaya menyayangi orang lain sebagaimana mereka menyayangi diri sendiri. Ia adalah kesempurnaan iman sebagaimana disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW.
Inilah ajaran Islam. Pendakwah sanggup menanggung tugas dakwah ini demi kesejahteraan manusia. Marilah sama-sama kita sampaikan dakwah Islam kepada manusia supaya kita tergolong dalam golongan yang diredhai Allah. Ya Allah! Berikanlah kekuatan kepada kami untuk istiqamah dalam tugas ini. Amiiin.
Name: Ibnu Abdullah Home: Sana'a, Yaman, Kuala Berang, Terengganu,, Malaysia About Me: Firman ALLAH S.W.T Bermaksud: {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)}.Surah (الأعراف/201) See my complete profile
Post a Comment